Proses selenggara helikopter terlibat nahas ikut SOP, kata bomba

Proses selenggara helikopter terlibat nahas ikut SOP, kata bomba

Helikopter milik bomba jenis Agusta AW189 itu sedang menjalani ujian enjin dan sistem pesawat ketika kejadian pada Sabtu lepas.

Helikopter jenis Leonardo S.p.A AW189 terlibat kemalangan pada 11.52 pagi.Helikopter milik bomba yang terlibat dalam insiden Sabtu lepas adalah jenis Agusta AW189. (Gambar helicopters.leonardo.com)
PUTRAJAYA:
Tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam aspek pengendalian mahupun penyelenggaraan dikesan berhubung insiden kemalangan helikopter milik bomba yang berlaku di kawasan apron UniKL MIAT Hangar, Subang pada Sabtu lepas.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Bomba Ahmad Izram Osman berkata, ketika kejadian kira-kira 11.40 pagi itu, helikopter Agusta AW189 itu dalam proses penyelenggaraan, dengan menjalani ujian enjin dan sistem pesawat.

Ahmad Izram berkata, ketika proses penyelenggaraan, jurutera telah membuka motor kipas pesawat yang sudah lima tahun beroperasi untuk kerja-kerja logistik, dan memasangnya kembali sebelum membuat ujian hovering.

“Apabila pesawat keluar daripada hangar, keadaan pesawat tidak seimbang dan melihat kepada kesan tayar pesawat, kita mendapati kejadian itu berlaku sebelum proses hovering,” katanya.

“Selalunya proses hovering ini dilakukan pada paras 7m dan ada peringkat ketinggian lagi…tetapi helikopter tidak sempat melakukan proses tersebut, apabila tayar tidak seimbang dan kipas helikopter patah akibat terkena lantai di kawasan hangar.

Ahmad Izram berkata, ketika kejadian, tiga anggota bomba dan empat krew selenggaraan berada di dalam pesawat dan kesemua mereka memakai tali pinggang keselamatan.

Pesawat itu dikendalikan oleh Timbalan Penguasa Bomba II Hasrizal Kamaruzzaman (komander pesawat) dibantu Penolong Kanan Penguasa Bomba Che Muhammad Azlan Che Mohammad (juruterbang) dan seorang Kuartermaster Udara Pegawai Bomba Kanan I Fua’ad Jamaluddin.

Selain itu, empat krew selenggaraan daripada syarikat Galaxy Aerospace Sdn Bhd turut berada di dalam pesawat, iaitu Muhammad Mohd Taib (ketua jurutera), Ahmad Zhafri Mohd Nor (jurutera avionik), Mohammad Zhafir Mohammad (pelatih) dan Ryan Xavier Julius (pelatih).

Ahmad Izram berkata, tiga anggota tersebut setakat ini masih direhatkan daripada bertugas bagi menjalani rawatan susulan, dan anak kapal serta krew selenggaraan dilaporkan tidak mengalami kecederaan parah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.