
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan dan Terengganu, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kerajaan negeri ketika ini dilihat tidak mampu melunaskan tuntutan dan menyelesaikan permasalahan rakyat.
“Kerajaan pusat telah nyatakan pendirian untuk kita bantu negeri Kelantan agar lebih membangun.
“Malah, banyak projek telah kita mulakan termasuk projek tebatan banjir selain menangani masalah banjir termenung di Tumpat yang sekian lama dihadapi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan di Kelantan dekat Bukit Tiu, malam tadi, yang turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi yang juga menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim berkata Kelantan yang dipimpin oleh parti Islam (PAS) tidak seharusnya menjadi antara negeri termiskin.
“Kita harap pada PRN kali ini beri peluang kepada mereka. Kita mahu anak Kelantan pulang mengundi untuk mendapat perubahan yang sama seperti negeri lain,” katanya.