SPRM Sabah tumpas sindiket menyamar pegawai kanan, 7 ditahan

SPRM Sabah tumpas sindiket menyamar pegawai kanan, 7 ditahan

Seramai 7 individu warga tempatan berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan hasil serbuan berdasarkan risikan oleh SPRM dan polis.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sindiket penipuan diminta menyalurkannya kepada SPRM. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menumpaskan sindiket penyamaran sebagai pegawai kanan suruhanjaya itu dan pegawai kanan kepada menteri dalam negeri, baru-baru ini.

Menurut sumber, modus operandi sindiket terbabit dipercayai menggunakan penyamaran untuk menipu mangsa, kononnya mereka boleh menyelesaikan kes disiasat agensi penguat kuasa.

Sindiket itu mengakibatkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit, tambahnya.

Menurut sumber, tujuh individu warga tempatan berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan hasil serbuan berdasarkan risikan oleh SPRM dan polis.

“Proses permohonan reman bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan akan dibuat terhadap mereka di Mahkamah Khas Rasuah, Kota Kinabalu esok,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy, yang mengesahkan penahanan itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau juga menyeru kepada orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sindiket ini agar tampil memberikan kerjasama kepada pihak SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.