Rakyat Kedah lebih perlu kerajaan progresif, bukan ‘gelombang’, kata Mahdzir

Rakyat Kedah lebih perlu kerajaan progresif, bukan ‘gelombang’, kata Mahdzir

Pengerusi BN negeri berkata rakyat Kedah lebih memerlukan kerajaan progresif dan dinamik mentadbir kerajaan negeri.

Bekas menteri besar, Mahdzir Khalid menasihatkan rakyat Kedah tidak terbawa-bawa apa yang dikatakan gelombang Perikatan Nasional (PN).
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) ingin bertanding membawa “gelombang”, sebaliknya gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) masuk ke PRN menawarkan kerajaan progresif untuk rakyat Kedah.

Pengerusi BN negeri, Mahdzir Khalid, berkata rakyat Kedah tidak perlu terbawa-bawa apa yang dikatakan gelombang PN.

Katanya, rakyat lebih memerlukan kerajaan progresif dan ia hanya mampu ditawarkan gabungan PH-BN.

“PN ini hanya hendak bawa kepada gelombang sahaja, nak bertanding di atas gelombang kah? Kita nak bertanding atas gabungan yang mampu memberi tawaran kerajaan progresif, dinamik, dan kesepaduan dalam masyarakat majmuk Malaysia.

“Kita tak boleh ketepikan urusan perpaduan, politik macam mana pun politik, perpaduan kena ada dan kalau kerana politik itu yang akhirnya membawa kepada kebencian, membawa kepada perpisahan semua kaum yang ada ini dan itu adalah menuju kepada keadaan yang sangat merbahaya,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Umno Padang Terap di Pejabat Umno Padang Terap, di Kuala Nerang.

Mahdzir, yang juga bekas menteri besar Kedah, turut mengingatkan akar umbi BN untuk menyokong calon ditampilkan gabungan kerajaan perpaduan, meskipun bukan daripada parti sama.

“Saya akui (rasa janggal itu) sedikit sebanyak itu ada, dalam bahasa lain kita sebut dia susah sikit sebab ini ‘first time’ (pertama kali).

“(Tambahan pula) jarak masa kita jadi kerajaan dengan PRN itu tidak jauh, dalam enam hingga tujuh bulan (sahaja), jadi proses nak bagi asimilasi atau sebati itu dia lambat sikit,” katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir memaklumkan, senarai semua calon BN dan PH di Kedah akan diperkenalkan menerusi satu majlis dalam tempoh terdekat, termasuk calon DUN Tanjung Dawai yang akan ditandingi BN.

Pada Jumaat, BN umum calon akan bertanding di 14 kerusi DUN Kedah, manakala PKR mengumumkan 10 calonnya, semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.