Polis Selangor terima 3 laporan berhubung The 1975

Polis Selangor terima 3 laporan berhubung The 1975

Polis Selangor berkata pihaknya telah memanggil pihak terlibat bagi tujuan siasatan.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata polis menyokong penuh keputusan Kementerian Komunikasi dan Digital batal serta merta Good Vibes Festival. (Gambar Wikipedia)
KUALA LUMPUR:
Polis menerima tiga laporan berhubung kelakuan dan kenyataan biadab kumpulan dari United Kingdom The 1975 di Festival Good Vibes 2023, semalam.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata ketiga-tiga laporan itu diterima pihak IPD Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Justeru itu, pihak polis telah menjalankan siasatan dengan memanggil pihak-pihak terlibat dan kes telah disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

“Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihak polis juga menyokong penuh keputusan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan Majlis Perbandaran Sepang untuk membatalkan festival tersebut serta-merta atas faktor keselamatan.

Terdahulu, persembahan kumpulan The 1975 itu dihentikan susulan tindakan biadab vokalisnya Matty Healy yang menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia dan memperlekehkan undang-undang negara pada Good Vibes Festival yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor, pada Jumaat.

Terdahulu, Fahmi mengarahkan supaya penganjuran Festival Good Vibes 2023 yang masih berbaki hingga esok dibatalkan serta-merta.

Menerusi catatan di Facebook, Fahmi berkata, pendirian kerajaan perpaduan adalah jelas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.