Kakitangan Jabatan Penerangan dilarang sertai kempen PRN, kata menteri

Kakitangan Jabatan Penerangan dilarang sertai kempen PRN, kata menteri

Mereka tidak dibenarkan berkempen atas tiket parti, memakai baju serta mengibarkan bendera dan risalah parti serta calon bertanding, kata Fahmi Fadzil.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menyasarkan penubuhan 168 Komuniti Madani di seluruh Selangor tahun ini.
PETALING JAYA:
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengingatkan semua kakitangan Jabatan Penerangan agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan kempen politik kepartian menjelang PRN di enam negeri pada 12 Ogos.

Beliau berkata, mereka tidak dibenarkan berkempen atas tiket parti, memakai baju serta mengibarkan bendera dan risalah parti serta calon bertanding.

“Tetapi ini tidak bermaksud Jabatan Penerangan bercuti (sepanjang tempoh kempen), tugas hakiki tetap dijalankan (memberi hebahan maklumat program kerajaan),” katanya.

Fahmi berkata demikian dalam ucapan Majlis Penyampaian Watikah Penubuhan Rasmi Komuniti Madani Selangor di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, lapor Bernama.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, Komuniti Madani merupakan badan sukarela pelbagai kaum yang ditadbir urus Jabatan Penerangan bagi menerapkan nilai dan tonggak Madani dalam kalangan masyarakat melalui komuniti.

Katanya, Komuniti Madani merupakan jentera barisan hadapan yang sangat penting dalam menyalurkan maklumat dan dasar, serta mendapatkan input keperluan pembangunan di sesebuah kawasan, selain berperanan sebagai mata dan telinga kepada kerajaan persekutuan dan negeri.

Fahmi berkata, pihaknya menyasarkan penubuhan 168 Komuniti Madani di seluruh Selangor tahun ini, dengan kira-kira 50 badan sukarela itu sudah ditubuhkan di Zon Tengah setakat 20 Julai lepas, melibatkan daerah Petaling, Klang dan Gombak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.