Pentadbir masjid Selangor dilarang kempen politik

Pentadbir masjid Selangor dilarang kempen politik

Pentadbir perlu memastikan bahan kempen parti politik tidak berada dalam bangunan atau di pagar masjid dan surau.

Ketetapan itu selaras arahan Majlis Agama Islam Selangor yang mengkehendaki masjid dan surau sebagai zon aman dan bebas propaganda dan politik kepartian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melarang pentadbir masjid dan surau membantu atau terlibat secara langsung dalam aktiviti politik pada PRN Ogos ini.

Pengarahnya Shahzihan Ahmad berkata pentadbir perlu memastikan bahan kempen atau propaganda parti politik tidak berada dalam premis bangunan atau di pagar masjid dan surau sepanjang kempen.

“Pihak masjid dan surau hendaklah menghalangnya daripada berlaku jika jelas secara tampak aktiviti atau program yang melibatkan calon parti bertanding, aktivis politik, gambar-gambar tokoh parti serta slogan dan lambang mewakili parti tertentu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, peringatan itu berikutan terdapat kemungkinan berlaku usaha daripada parti politik untuk mengadakan aktiviti di masjid dan surau di negeri berkenaan, seperti lazim sebelum ini yang melibatkan program pengenalan calon dan aktiviti berkumpul ahli parti.

“Ketetapan ini selaras arahan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang mengkehendaki masjid dan surau sebagai zon aman dan bebas propaganda politik dan politik kepartian,” katanya.

Katanya, pegawai masjid yang melanggar arahan itu boleh dibatalkan pelantikannya oleh Mais berdasarkan Peraturan 7 (f), Peraturan-peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017.

“Sebarang tindakan bersifat menghina atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atau arahan Mais, boleh dikenakan tindakan bawah Seksyen 12 (a) atau (b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.