Good Vibes Festival diterus sebalik ‘kebiadaban’ The 1975

Good Vibes Festival diterus sebalik ‘kebiadaban’ The 1975

Penganjur Good Vibes Festival 2023 berkata acara itu diteruskan mengikut jadual hari ini dan esok.

Penganjur kesal dengan tindakan biadab The 1975 ketika melakukan persembahan semalam.
PETALING JAYA:
Penganjur Good Vibes Festival 2023 berkata acara itu diteruskan mengikut jadual hari ini dan esok di sebalik kontroversi dicetuskan kumpulan The 1975.

Menurut penganjur, persembahan kumpulan dari British itu dihentikan serta-merta malam tadi kerana tidak mematuhi garis panduan.

“Kepada yang hadir semalam, kami memahami kekecewaan anda. Jika masih mempunyai gelang tangan (tiket masuk) untuk konsert semalam, anda boleh menghadiri festival sama ada hari ini atau esok.

“Hanya tunjukkan gelang tangan berkenaan di pintu masuk utama. Kami berharap dapat berjumpa dengan anda tidak lama lagi,” katanya.

Penganjur dalam kenyataan dipetik Berita Harian berkata, mereka kesal dengan kumpulan itu yang bertindak biadab ketika melakukan persembahan.

Persembahan The 1975 dihentikan selepas vokalisnya Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat dalam konsert di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Dia didakwa memegang botol arak atas pentas, selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Susulan itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, meminta penganjur memberi penjelasan dan beliau akan berhubung dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan laporan penuh insiden berkenaan.

Polis panggil penganjur 

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata tiada siasatan rasmi dijalankan ketika ini kerana belum ada laporan diterima, tetapi penganjur diminta memberi lebih banyak butiran mengenai insiden semalam.

“Polis akan memanggil penganjur konsert hari ini. Polis KLIA akan uruskan,” katanya kepada FMT.

Selepas persembahan dihentikan semalam, Healy memaklumkan penonton di SIC “kami diharamkan dari Kuala Lumpur”.

Hussein tidak dapat mengesahkan agensi mana “mengharamkan” kumpulan itu seperti didakwa Healy dan tidak pasti sama ada Healy serta kumpulannya akan dihalang meninggalkan negara sehingga siasatan selesai.

Ketua Polis KLIA, Imran Abd Rahman, berkata beliau menyemak dengan imigresen berhubung perkara itu.

“Ada kemungkinan (mereka disenaraihitamkan).

“Pemeriksaan kami dengan Jabatan Imigresen mendapati kumpulan itu tidak pernah disenaraihitamkan dan mendapat kelulusan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) untuk membuat persembahan di Malaysia.”

FMT sudah menghubungi Fahmi, Wisma Putra dan Kementerian Dalam Negeri untuk mengulas lanjut.

Healy terpalit kontroversi dalam konsert 2019 di Dubai kerana mencium peminat lelakinya. Homoseksualiti haram di Emiriah Arab Bersatu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.