
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata walaupun terdapat undang-undang bagi menangani peningkatan kes provokasi 3R baru-baru ini, ada antaranya digubal tujuh dekad lalu.
Undang-undang yang dimaksudkan termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, dan Kanun Keseksaan.
“Kerajaan berhasrat untuk mengkaji semula kerelevanan undang-undang yang sedia ada untuk memastikan perundangan selaras dengan perkembangan semasa,” katanya dalam kenyataan, selepas sesi libat urus bersama pemegang taruh.
Azalina berkata sesi hari ini terdiri daripada perbincangan kumpulan fokus dan dialog perundangan 3R, yang dihadiri lebih 50 wakil daripada kerajaan dan bukan kerajaan.
Katanya, tiga persoalan utama dikemukakan untuk perbincangan dalam sesi hari ini, iaitu pemansuhan perundangan sedia adan dan penggubalan akta baharu; pindaan perundangan; dan tiada perubahan perundangan di mana provokasi 3R ditangani melalui pendekatan lain.
“Hasil daripada perbincangan kumpulan fokus dan dialog perundangan 3R akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri,” katanya.