
Kenyataan menteri besar Kedah itu menguatkan spekulasi pemilihan bekas ketua pasukan Kedah dan pemain Harimau Malaya Baddrol Bakhtiar sebagai calon PN di DUN Gurun.
“Musim kedua perpindahan (penggal baharu), kita akan ada dua profesor untuk mewakili kita, player (pemain) bola ada dah dua, ustaz dan ulama tak payah kira, (memang banyak), dan seorang panglima (akan) duduk di hadapan,” kata Sanusi berucap pada Himpunan Munajat Perdana di Dewan Al Hana malam tadi, menurut Berita Harian.
Media sebelum ini melaporkan Baddrol yang menamatkan kontrak dengan Sabah FC baru-baru ini atas persetujuan bersama, disebut-sebut sebagai calon PN bagi kerusi DUN Gurun.
Pada PRU14, DUN Gurun dimenangi PKR menerusi Johari Abdul dengan majoriti 4,207 undi. Bagaimanapun, beliau mengosongkan kerusi itu Disember lalu kerana dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, majlis pengisytiharan calon PN Kedah yang dijadual berlangsung semalam ditangguhkan kepada Rabu depan.
Setiausahanya, Musoddak Ahmad, berkata penangguhan itu diputuskan oleh Majlis PN Pusat dan PN Kedah dalam mesyuarat kelmarin.
Bagaimanapun katanya, perubahan tarikh itu tiada kaitan dengan dakwaan terdapat perubahan calon PAS pada saat akhir susulan kes pendakwaan membabitkan Sanusi pada Selasa lalu.
Kedah memiliki 36 kerusi DUN, di mana PN menguasai 21 daripadanya sebelum DUN dibubarkan 28 Jun lalu.