Guna akuarium untuk jual air satu kesalahan, kata KP kesihatan

Guna akuarium untuk jual air satu kesalahan, kata KP kesihatan

Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata akuarium berfungsi sebagai bekas memelihara ikan dan tidak sesuai untuk menyimpan makanan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata akuarium berkemungkinan mengandungi bahan kimia yang boleh mencemarkan air minuman dan mengakibatkan kesan kepada kesihatan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Penggunaan akuarium atau bekas bukan untuk tujuan makanan dilarang seperti dinyatakan dalam Peraturan 31, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Merujuk isu tular di media massa dan media sosial berkaitan penggunaan akuarium sebagai bekas penyimpanan air untuk tujuan jualan, beliau berkata ia menjadi satu kesalahan kerana akuarium berfungsi sebagai bekas memelihara ikan.

“Akuarium kebiasaannya diperbuat daripada bahan kaca atau acrylic atau plastik dan berkemungkinan mengandungi bahan kimia seperti plumbum atau phthalates, yang boleh larut dalam air seterusnya mencemarkan air tersebut, sekali gus boleh mengakibatkan kesan kepada kesihatan,” menurutnya dalam kenyataan.

Radzi berkata Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), akan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas penjualan makanan termasuk penjualan minuman yang menggunakan bekas bukan untuk tujuan makanan.

Beliau juga mengingatkan kepada penjual dan pengguna untuk memandang serius serta memastikan makanan yang dijual selamat dan berkualiti untuk semua.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.

Sebelum ini, tular gambar penjualan ‘air balang’ menggunakan akuarium sehingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.