
Anwar menuntut Muhyiddin mengemukakan permohonan maaf kerana memetik kenyataannya di luar konteks selain bekas perdana menteri itu perlu menarik balik surat tuntutannya.
Peguam Anwar, Tetuan SN Nair & Partners, juga menuntut Muhyiddin membayar ganti rugi RM200 juta kepada presiden PKR berkenaan.
“Kami telah diarahkan oleh anak guam kami untuk menyatakan bahawa sekiranya anak guam kami tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh 24 jam daripada tarikh surat ini, arahan kami adalah memulakan tindakan perundangan,” katanya dalam surat tuntutan kepada peguam Muhyiddin, Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership.
Semalam, Muhyiddin berkata, akan memfailkan saman fitnah terhadap Anwar berhubung dakwaan pelupusan RM8.3 bilion hutang peneroka Felda yang tidak dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Muhyiddin menuntut Anwar memohon maaf susulan kenyataan tersebut.
Anwar telah mendedahkan dua dokumen, iaitu jaminan kerajaan dikeluarkan kepada Felda dan arahan pembayaran RM990 juta daripada kerajaan kepada Felda sebagai bukti.
Sebelum ini, beliau mendakwa kerajaan PN gagal menyediakan sebarang peruntukan dalam Bajet 2021 dan 2022 bagi menyelesaikan isu hutang Felda.
Anwar berkata, hanya pada bajet tahun ini pentadbirannya memperuntuk RM990 juta sebagai dana permulaan ke arah penyelesaian itu.