PRN: Muda lancar manifesto ‘politik baharu’

PRN: Muda lancar manifesto ‘politik baharu’

Manifesto ini fokus kepada empat agenda teras yang menyentuh isu-isu dianggap menekan di kawasan bandar dan luar bandar, kata parti itu.

Setakat ini, Muda telah mengumumkan 10 calon yang akan bertanding pada PRN Terengganu, Selangor, Pulau Pinang.
PETALING JAYA:
Muda membawa empat agenda “politik baharu” dalam manifestonya bagi PRN akan datang, termasuk mendigitalkan ekonomi dan perkhidmatan kerajaan.

Muda turut mahu mengetengahkan ‘politik pro-rakyat’ yang telus dan inklusif, melantangkan suara anak muda serta menyokong pemeliharaan alam sekitar.

Menurutnya, empat agenda teras ini menyentuh isu-isu yang dianggap menekan di kawasan bandar dan luar bandar di keenam-enam negeri yang akan mengadakan PRN pada 12 Ogos, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Manifesto #PolitikBaru berlandaskan khidmat politik yang membawa suara dan kerisauan rakyat, mengaspirasikan impak dalam pembuatan dasar kerajaan negeri yang semakin terpesong.

“(Selain itu), berprinsip mendorong kepada penyelesaian dasar, bukan hanya insentif cebisan untuk menarik undi,” kata parti itu dalam dokumen manifestonya.

Antara usul yang dikemukakan Muda termasuk memastikan suara rakyat dibawa menerusi referendum, serta mempelopori usaha membuka ruang bagi pilihan raya tempatan.

Selain itu, Muda menjanjikan pengisytiharan harta wakil-wakil rakyat, serta mendesak pengakhiran bayaran pencen kepada menteri besar, Adun, dan ahli.

Muda turut mengusulkan penubuhan Jawatankuasa Khas Belia di setiap DUN untuk “memperkasakan suara anak muda” dan mendorong proses pembuatan dasar lebih inklusif.

Dari segi pendigitalan ekonomi dan perkhidmatan kerajaan, Muda dalam manifestonya berikrar akan melengkapkan liputan Internet 5G dalam masa setahun, terutamanya di kawasan terpencil pada kadar subsidi bagi isi keluarga berpendapatan rendah.

Setakat ini, Muda mengumumkan 10 calon yang akan bertanding di Terengganu, Selangor, Pulau Pinang, termasuk Setiausaha Agungnya Amir Hadi yang bertanding di DUN Seri Serdang.

PRN di enam negeri akan diadakan serentak pada 12 Ogos, dengan hari penamaan calon pada 29 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.