Polis terima 2 laporan khianat kain rentang, bendera parti

Polis terima 2 laporan khianat kain rentang, bendera parti

Kejadian dilaporkan berlaku di Tumpat dan Kuala Krai, selain polis turut mengesan empat lagi kejadian sama di Kota Bharu.

Polis berkata perbuatan khianat itu dilakukan dengan cara mencabut serta menjatuhkan bendera parti, serta merosakkan kain rentang.
KOTA BHARU:
Polis menerima dua laporan membabitkan kejadian khianat terhadap kain rentang dan bendera parti, dari 15 Julai hingga semalam, kata Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun.

Beliau berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku di Tumpat dan Kuala Krai, selain turut mengesan empat lagi kejadian sama berlaku di Kota Bharu.

“Perbuatan khianat ini dilakukan dengan cara mencabut serta menjatuhkan bendera parti, serta merosakkan kain rentang tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Zaki berkata, polis memandang serius kejadian itu dan mengerakkan hampir semua “Team Cantas” kontinjen dan pasukan lain bawah ketua polis daerah, untuk mengesan dan menangkap pihak dipercayai terlibat, sama ada secara langsung atau sebaliknya.

“Sehubungan itu, diingatkan kepada semua ketua parti, badan bukan kerajaan (NGO) atau pengerusi mana-mana pertubuhan khususnya di Kelantan, supaya sentiasa menjaga dan mengawasi ahli dan pengikut masing-masing, supaya tidak merosakkan keharmonian dan keamanan serta merencatkan proses pilihan raya pada kali ini.

“Pelaksanaan proses berkempen hendaklah dilakukan secara sihat, harmoni dan mematuhi peraturan, undang-undang serta garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, polis juga tidak akan berkompromi dengan pihak yang terbabit dan kes akan disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, tindakan tegas juga akan diambil polis Kelantan bagi mana-mana pihak yang cuba melakukan sebarang provokasi atau menimbulkan sebarang isu berkaitan dengan raja, agama dan kaum (3R).

“Polis memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak memuat naik sebarang hantaran di media sosial atau menyebarkan berita yang boleh mendatangkan pecah keamanan dan kegusaran pada masyarakat terutama menyentuh isu-isu 3R,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.