Pengasuh didakwa bunuh bayi

Pengasuh didakwa bunuh bayi

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Chemor minggu lalu.

Tertuduh, Tan Wooi Cheng, 51, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas dakwaan membunuh bayi perempuan berusia enam bulan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan membunuh bayi perempuan berusia enam bulan, yang juga asuhannya minggu lalu.

Tertuduh, Tan Wooi Cheng, 51, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S Punitha namun tiada pengakuan direkodkan, menurut Berita Harian.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa membunuh bayi perempuan berusia enam bulan, Cheong Si Yu di Persiaran Klebang Selatan 5 Tawas Indah di Chemor, antara tengah malam 9 Julai dan 11 pagi 12 Julai lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, juga boleh dikenakan tidak kurang 12 sebatan.

Mahkamah menetapkan 5 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam J Matthews.

Matthews memohon mahkamah mengeluarkan arahan kepada Jabatan Penjara untuk memberi penjagaan secukupnya untuk anak guamnya yang mengalami gangguan tiroid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.