
Bagaimanapun, Pamela Faith Aoko Omollo, 39, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas mahkamah meminda tuduhan terhadapnya kepada memiliki dadah itu.
Peguam K Simon Murali memaklumkan panel tiga hakim yang diketuai Kamaludin Md Said bahawa Jabatan Peguam Negara telah menerima representasi anak guamnya bagi meminda tuduhan daripada mengedar kepada memiliki.
Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir kemudian mengesahkan perkara itu.
Kamaludin, yang bersidang bersama-sama Azman Abdullah dan Azmi Ariffin, mengarahkan Omollo menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap, iaitu pada 25 Nov 2016.
Sebelum ini, Omollo dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 16 Mac 2021 kerana mengedar dadah di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor pada 7.45 malam 25 Nov 2016.
Ibu kepada empat anak itu kemudian membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan.