
Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki-lelaki berusia antara 22 dan 30 tahun itu ditahan menerusi operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor yang diadakan dari 6.20 petang hingga 9.45 malam.
Katanya, sindiket itu yang dipercayai aktif sejak April menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat yang disewa sebagai stor menyimpan dadah sebelum ia diedarkan ke pasaran tempatan.
“Kesemua yang ditahan merupakan rakan jenayah, termasuk seorang daripadanya dipercayai dalang sindiket ini.
“Melihat pada rampasan yang dibuat, dipercayai dadah tersebut untuk kegunaan kelab malam,” katanya pada sidang media di IPK Johor.
Kamarul Zaman berkata, dadah yang dirampas termasuk 54.33kg serbuk ekstasi; 7,923 biji pil erimin 5; 1.22kg ketamin; 346g ganja; dan 6,564 biji pil ekstasi.
Turut disita enam kereta pelbagai jenama bernilai RM432,000, barang kemas bernilai RM12,339 dan wang tunai RM11,000, katanya.
Menurut Kamarul Zaman, hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada yang ditahan positif dadah jenis ketamin dan hanya seorang mempunyai rekod jenayah lampau.
Kesemua lelaki terbabit direman tujuh hari bermula 18 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.