
Ketua Polis Manjung, Mohamed Nordin Abdullah, berkata kes itu sudah selesai dan mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas pesalah empat tahun lepas.
“Kita mengesan satu hantaran dimuat naik pemilik akaun bernama ‘Jack’ dalam laman Facebook kira-kira 3 petang tadi (semalam). Hasil siasatan mendapati kemalangan melibatkan dua kenderaan dan sebuah kereta peronda polis berlaku pada 21 Jun 2019,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, kemalangan itu berlaku di lampu isyarat Jalan Mempisang, Seri Manjung ketika kereta peronda polis membawa seorang tahanan lelaki dari arah Hospital Seri Manjung ke Balai Polis Sitiawan dilanggar sebuah kereta jenis Honda Civic yang menghala ke Kampung Cina.
“Pada masa sama, sebuah Proton Saga yang tidak sempat menekan brek melanggar belakang kereta peronda polis berkenaan.”
Katanya, timbalan pendakwa raya kemudian mengarahkan pemandu Honda Civic didakwa kerana tidak memberi keutamaan lalu lintas kepada kenderaan polis, bomba dan ambulans yang sedang bergerak dalam kecemasan.
Justeru, Nordin mengingatkan orang ramai menyemak terlebih dulu kesahihan dan kebenaran sesuatu berita sebelum berkongsi di media sosial serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh membimbangkan masyarakat.