Raja mengatasi politik, Anwar ingatkan pembangkang

Raja mengatasi politik, Anwar ingatkan pembangkang

Perdana menteri menegaskan bahawa raja-raja Melayu tidak boleh dikritik.

Anwar Ibrahim sebelum ini berikrar bahawa kerajaannya akan mempertahankan institusi diraja daripada dicemuh atau diperlekehkan atas nama kebebasan bersuara.
PETALING JAYA:
Walaupun mana-mana pihak dalam kerajaan terbuka menerima kritikan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan pembangkang agar mengelak daripada mengkritik raja-raja Melayu.

Anwar berkata, beliau boleh menerima sebanyak mana pun kritikan daripada sesiapa, dan tidak akan sekali-kali menggunakan Akta Hasutan terhadap pengkritiknya. Paling hebat, kata presiden PKR itu, beliau akan memfailkan saman atau membuat laporan polis.

“Tetapi kalau caci raja, saya dah jawab, itu hadnya. Kerana raja itu mengatasi politik.

“Raja ini bukan ketua parti, (tetapi) ketua negeri dan ketua negara,” katanya pada sebuah program Maal Hijrah di Tanjong Karang, Selangor.

Semalam, pemimpin PAS Sanusi Nor mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan bawah Akta Hasutan kerana membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap raja.

Anwar sebelum ini berikrar bahawa kerajaannya akan mempertahankan institusi diraja daripada dicemuh atau diperlekehkan atas nama kebebasan bersuara.

Malam ini, Anwar menyangkal dakwaan bahawa kerajaannya menyalahgunakan kuasa dan melakukan pendakwaan terpilih terhadap pembangkang.

Beliau berkata, jika beliau mahu mengambil tindakan apabila dikritik, sudah tentu beliau akan berbuat demikian dari mula.

Namun, katanya, beliau tidak berbuat demikian kerana Malaysia menegakkan kedaulatan undang-undang.

Beliau turut mempersoalkan mengapa dirinya yang dikritik berhubung penahanan Sanusi, sedangkan laporan polis dibuat oleh ahli Dewan Diraja Selangor.

“Kemudian (mereka kata) tak hina pun Sultan Selangor, tak apa lah … jawablah di mahkamah,” katanya.

Susulan tuduhan dikenakan terhadap Sanusi, Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin menuduh kerajaan semakin galak menggunakan tindakan undang-undang untuk “menekan lawan politik”.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara menegaskan bahawa sebarang keputusan mengenakan tuduhan dan pendakwaan adalah berdasarkan keterangan dan fakta hasil siasatan, bukannya atas desakan mana-mana pihak mahupun faktor lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.