
Ketua Polis Barat Daya Kamarul Rizal Jenal berkata serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan berkaitan sindiket berkenaan.
“Dalam serbuan pertama pada 7.30 malam di sebuah rumah di kawasan persiaran Pantai Jerjak, Bayan Lepas, polis menahan tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia 30 hingga 41 tahun dipercayai menjalankan kegiatan pelaburan serta perjudian dalam talian di situ.
“Pemeriksaan awal menemukan unsur judi dalam talian yang menggunakan pautan “bwc88nep.com” dan “merc.adminbwc88ags.com”,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata polis seterusnya menyerbu sebuah rumah di Jelutong pada 10.35 malam dan menahan seorang lagi lelaki berusia 30 tahun manakala serbuan di sebuah pejabat di Jelutong kira-kira sejam kemudian mendapati premis itu dijadikan tempat mereka menjalankan kegiatan perjudian dalam talian berkenaan.
“Siasatan mendapati sindiket itu menjadikan premis berkenaan sebagai tempat menghasilkan iklan dan pengedaran iklan bagi platform perjudian “bwc88nep.com” serta “merc.adminbwc88ags.com” ke Nepal, Singapura dan Malaysia,” katanya.
Kamarul berkata pemeriksaan di premis itu turut menjumpai satu mesin disyaki untuk melombong mata wang kripto dan terdapat gangguan pada meter elektrik milik Tenaga Nasional Berhad.
Beliau berkata antara barangan dirampas dalam serbuan berkenaan ialah lapan monitor komputer, lima komputer riba, lima komputer, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama, kad bank dan buku nota mengandungi skrip iklan promosi judi dalam talian.
Katanya sindiket yang disyaki beroperasi sejak September 2021 itu akan bertukar lokasi dalam tempoh sebulan hingga enam bulan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Semua yang ditahan sedang direman empat hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 dan 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya.