Pakatan PDP-PSB boleh cetus pergeseran dalam gabungan Sarawak

Pakatan PDP-PSB boleh cetus pergeseran dalam gabungan Sarawak

Awang Azman Pawi percaya SUPP mungkin tidak selesa dengan pakatan itu, manakala James Chin berkata ia mungkin merugikan PRS.

Penganalisis berkata, Wong Soon Koh merupakan bekas ahli kanan SUPP dan pakatannya dengan PDP boleh mencetuskan pergeseran. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Gabungan Parti Sarawak mungkin mengalami pergolakan dalaman susulan keputusan ahli komponennya menandatangani pakatan dengan parti pembangkang.

Pada 13 Julai lalu, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Tiong King Sing dan rakan sejawatannya dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Wong Soon Koh menandatangani memorandum persefahaman untuk bekerjasama demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat Sarawak.

Penganalisis sosiopolitik, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, pakatan itu mungkin membimbangkan rakan gabungan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan mencetuskan pergolakan antara PDP dan SUPP.

Khamis lalu, PDP memeterai perjanjian dengan PSB diketuai Wong, yang juga ketua pembangkang Sarawak dan ahli kanan SUPP sehingga beliau dipecat pada 2014.

“Jika tidak ditangani dengan baik, hubungan mereka boleh menjadi dingin dan kedua-dua parti itu mungkin mensabotaj satu sama lain dalam PRN akan datang (menjelang 2026),” kata Azman.

Tetapi, James Chin dari Universiti Tasmania percaya pakatan itu membawa ancaman lebih besar kepada satu lagi komponen GPS, iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang berasaskan Dayak.

“Jika ada yang perlu bimbang tentang perkara ini dalam jangka panjang, ia adalah PRS, bukannya SUPP. Ia lebih kepada konfigurasi semula pengundi Dayak, bukannya pengundi Cina.”

Beliau berkata, pakatan PSB-PDP tidak mungkin mengancam status SUPP sebagai parti kedua terbesar dalam gabungan pemerintah Sarawak itu, tetapi ia mungkin menolak PRS lebih jauh ke bawah dalam GPS.

Khamis lalu, Wong mengumumkan sokongan PSB kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Abang Johari Openg “atas semangat perpaduan”.

Azman dan Chin bersetuju sokongan PSB akan mengukuhkan kedudukan dominan GPS dan kedudukannya dalam kerajaan perpaduan persekutuan, sekali gus memastikan “hubungan stabil antara GPS dan Pakatan Harapan di peringkat persekutuan”.

Presiden SUPP, Dr Sim Kui Hian mengakui GPS ada membincangkan kerjasama itu sebelum pakatan PSB-PDP dimeterai, tetapi ia kelihatan tidak terkesan dan beliau “kagum” dengannya.

PSB bertanding menentang GPS pada PRN Sarawak 2021 dan memenangi empat daripada 82 kerusi DUN. Ia kehilangan satu kerusi selepas Adun Batu Lintang, See Chee How keluar parti tahun lalu.

Ia pada asalnya ditubuhkan Wong sebagai Parti Rakyat Perpaduan selepas dipecat, parti itu meneruskan pakatan dengan SUPP untuk PRN 2016. Pada Februari 2019, ia menjenamakan semula dirinya sebagai PSB.

Wong, yang juga menteri kewangan kedua Sarawak selama 15 tahun, meletak jawatan daripada Kabinet negeri pada Julai 2019 atas alasan “hubungan bermusuhan” antara PSB dan parti komponen GPS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.