Kastam tawar ganjaran 10% beri maklumat barangan lari cukai

Kastam tawar ganjaran 10% beri maklumat barangan lari cukai

Ini termasuk rokok, minuman keras dan kenderaan dengan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan, kata Timbalan Menteri Kewangan I Ahmad Maslan.

Orang ramai diseru agar menyalurkan maklumat kepada Jabatan Kastam mengenai barangan lari cukai termasuk rokok dan minuman keras.
PORT DICKSON:
Jabatan Kastam hari ini menawarkan ganjaran 10% daripada nilai rampasan kepada mana-mana individu yang memberikan maklumat tepat mengenai barangan yang dikategorikan lari cukai serta pelakunya.

Timbalan Menteri Kewangan I Ahmad Maslan berkata, barangan itu termasuk rokok, minuman keras dan kenderaan dengan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

“Jika nilai rampasan berjumlah RM1 juta, maka 10% daripada itu, iaitu sebanyak RM100,000, akan diberikan kepada pemberi maklumat,” katanya.

“Kita harap lebih ramai menghubungi kastam jika lihat perkara disyaki, kita anggap pemberi maklumat ini sebagai kategori A, iaitu apabila kastam sampai di tempat tersebut, boleh terus tangkap pelaku dan barangan yang lari cukai itu, ia termasuk juga kes melibatkan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Khidmat Bakti Masyarakat Jabatan Kastam Negeri Sembilan 2023 yang turut dihadiri Pengarah Kastam negeri Mohammad Hafiz Ishak.

Ahmad berkata, maklumat berkenaan diperlukan bagi membasmi aktiviti yang akan merugikan rakyat dan negara, malah pemberian ganjaran itu sebenarnya sudah lama dilakukan pihak kastam, tapi tidak diuar-uarkan.

“Kerja-kerja jahat ini masih banyak lagi dibuat di luar sana, oleh kerana itu saya menyeru kepada semua untuk tampil salurkan maklumat itu, boleh hubungi kastam di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, tugas dan peranan Jabatan Kastam bukan hanya mengutip cukai atau hasil untuk negara, bahkan untuk menjaga ketenteraman negara.

Sementara itu, Mohammad Hafiz dalam ucapannya berkata, Jabatan Kastam Negeri Sembilan telah merekodkan kutipan hasil berjumlah lebih RM300 juta setakat 31 Jun lepas, berbanding sasaran tahun ini iaitu RM588 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.