Hubungan dengan pengundi kunci kemenangan, kata Pemuda Umno

Hubungan dengan pengundi kunci kemenangan, kata Pemuda Umno

Pengerusi Tetap Pemuda Umno, Wan Agyl Wan Hassan berkata Umno perlu mempertimbangkan untuk mencalonkan penyokong popular parti sebagai calon PRN.

Wan Agyl Wan Hassan berkata, calon baharu Umno sebaiknya mempunyai pengalaman politik atau berada dalam perkhidmatan awam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Umno perlu melakukan lebih daripada sekadar meletakkan muka baharu pada PRN bulan depan, kata seorang pemimpin Pemuda Umno.

Pengerusi Tetap sayap itu, Wan Agyl Wan Hassan, berkata ia juga perlu menunjukkan keupayaannya berhubung dengan pengundi dan menerima dasar moden sejajar keperluan pengundi.

Katanya, muka baharu akan meyakinkan pengundi bahawa Umno sedang menerima transformasi positif, tetapi calon baharu perlu mempunyai pengetahuan mendalam terhadap kawasan mereka dan mempunyai hubungan kuat dengan pengundi setempat.

“Calon-calon ini sebaiknya mempunyai pengalaman politik atau perkhidmatan awam, atau sekurang-kurangnya mempamerkan potensi kepimpinan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, Umno harus mempertimbangkan untuk meletakkan calon baharu bagi mencerminkan kepelbagaian pengundi dari segi latar belakang, profesion, umur dan jantina bagi membuktikan parti itu komited memberi khidmat kepada rakyat diwakilinya.

Katanya, Umno harus mempertimbangkan idea tidak konvensional dalam menawarkan calon baharu, seperti menamakan penyokong ‘popular’, dengan syarat mereka diterima secara meluas oleh pengundi.

Wan Agyl mengulas gesaan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini untuk parti meletakkan lebih ramai muka baharu pada PRN bulan depan.

Beliau berkata, BN harus menawarkan sesuatu yang “lebih segar”, walaupun calon terdahulu masih dianggap relevan di beberapa kawasan.

Umno adalah parti utama dalam BN dan akan menyertai PRN pada 12 Ogos dalam pakatan pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH), bekas seterunya.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Umno perlu menamakan calon baharu yang boleh berdiri sendiri, tanpa ada kaitan dengan mana-mana pemimpin tertinggi parti atau calon terdahulu.

Katanya, calon yang dikaitkan dengan kepimpinan tertinggi parti berisiko digelar proksi pemimpin sendiri, yang akan memakan diri Umno.

“Strategi ampuh ialah muka baharu mestilah sekurang-kurangnya sekitar 50-60% daripada semua calon Umno-BN, tetapi muka baharu ini tidak boleh dikaitkan dengan muka lama dan veteran parti.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.