Wanita rugi lebih RM100,000 angkara ‘love scam’

Wanita rugi lebih RM100,000 angkara ‘love scam’

Mangsa melakukan 11 transaksi pemindahan wang daripada akaun miliknya ke akaun bank diberikan suspek melibatkan jumlah keseluruhan RM142,080.

Mangsa berkenalan dengan seorang lelaki sejak hujung Mac selepas mendapat pesanan ringkas daripada suspek menerusi Messenger yang kemudian diteruskan melalui WhatsApp.
JOHOR BAHRU:
Seorang wanita tempatan berusia lingkungan 40-an kerugian lebih RM100,000 dipercayai akibat ditipu seorang lelaki dalam satu penipuan percintaan dalam talian, sejak April lalu.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata wanita itu yang bekerja di sebuah institusi pendidikan, mula berkenalan dengan lelaki berkenaan sejak hujung Mac selepas mendapat pesanan ringkas daripada suspek menerusi aplikasi Messenger, yang kemudian diteruskan melalui WhatsApp.

Beliau berkata, suspek kemudian memberitahu mangsa yang dia akan ke Malaysia bagi urusan tuntutan pampasan kematian bapanya di sebuah syarikat di Sarawak.

Kamarul Zaman berkata, pada pertengahan April lalu lelaki itu mendakwa telah sampai di Malaysia dan menghubungi mangsa bagi mendapatkan bantuan kewangan untuk membiayai kos penginapan dan juga bayaran kepada Bank Dunia untuk urusan pengeluaran wang berjumlah USD5.5 juta.

“Mangsa turut dijanjikan sejumlah wang yang lumayan sekiranya dapat memberikan bantuan kewangan tersebut.

Tertarik dengan tawaran diberikan, antara 11 April tahun ini hingga 12 Jun lalu, mangsa melakukan 11 transaksi pemindahan wang daripada akaun miliknya ke akaun bank diberikan suspek melibatkan jumlah keseluruhan RM142,080,” katanya dalam kenyataan.

Kes itu disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, polis Johor menerima laporan sebanyak 64 kes penipuan dalam talian, melibatkan warga pendidik sebagai mangsa dengan kerugian lebih RM2.5 juta bagi tempoh 1 Jan tahun ini hingga 15 Julai lalu.

Justeru, beliau menasihati orang ramai jangan mudah terpedaya atau percaya pada individu yang baru dikenali melalui media sosial terutama apabila berurusan secara dalam talian bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.