
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, berbeza dengan Perikatan Nasional, gabungan PH-BN di Kedah tidak mempunyai pemimpin yang popular dalam kalangan belia.
Sebaliknya, beliau berkata, PAS memiliki ramai pemimpin muda yang dekat dengan pengundi Kedah.
“Umno perlu menampilkan muka baharu dalam PRN akan datang, begitu juga PH. Mempunyai sekurang-kurangnya 50% calon muda akan menunjukkan mereka komited membiarkan Kedah dipimpin orang muda denganidea baharu untuk Kedah baharu.
“Pemimpin BN dan PH perlu lebih dekat dengan rakyat. Masih ada masa jika mereka serius mahu menarik sokongan belia di Kedah,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas seruan Ketua BN Kedah, Mahdzir Khalid supaya pengundi muda Kedah menjajarkan negeri itu dengan kepimpinan persekutuan dengan mengundi PH-BN pada PRN 12 Ogos ini. Mahdzir turut menolak cakap-cakap anak muda Kedah lebih cenderung memilih PN seperti pada PRU November lalu.
Azizuddin Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata, perbalahan dalaman Umno dan kegagalan PH menembusi kawasan luar bandar Kedah mungkin menjejaskan peluang gabungan itu dalam PRN.
“Bukannya Umno tidak memberi peluang kepada golongan muda bertanding, cuma perbalahan dalaman parti sebelum ini menyebabkan ia berpecah belah dan lemah. Namun, ua nampaknya sudah selesai dan Umno lebih bersatu dalam menghadapi pilihan raya.
“PH walaupun memberi peluang kepada pemimpin muda seperti Ahli Parlimen Sungai Petani, Taufiq Johari, doktor berusia 20-an, ia terlalu memfokuskan kawasan bandar dan pinggir bandar.
“PH belum memperluaskan pengaruhnya ke kawasan luar bandar,” katanya kepada FMT sambil menambah gabungan itu perlu meningkatkan usahanya mendekati belia di luar bandar Kedah.
Usaha Anwar dekati belia buahkan hasil
Walaupun PN menang 14 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah dalam PRU15, Azizuddin dan Mazlan berpendapat, gabungan itu mampu memenangi hati belia di negeri itu susulan libat urus Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dengan pelajar universiti awam dalam acara “townhall” di Kedah.
“Saya lihat belia bersikap terbuka menerima perdana menteri, bererti minda mereka tidak tertutup walaupun menyokong parti tertentu. Mereka masih boleh membawa perubahan,” kata Mazlan.
“Dalam sains politik, kami melihat belia sebagai pengundi peserta, di mana pandangan politik mereka dipengaruhi isu semasa. Mereka tidak fanatik terhadap parti politik tertentu berbanding pengundi subjek yang tidak akan mengubah status quo. Mereka terdiri daripada orang lama.
“Jumlah pengundi peserta lebih ramai daripada pengundi subjek. Jika perdana menteri – dengan caranya mendekati belia – mampu mendapat kepercayaan mereka, (BN-PH) akan meraih 30% undi yang cukup untuk merapatkan jurang prestasi (pilihan raya), walaupun jika mereka (gabungan perpaduan) mungkin tidak dapat menang di Kedah.”
Sementara itu, Azizuddin berkata, usaha Anwar menyantuni pelajar universiti bagi menjelaskan isu mendesak dihadapi mereka, khususnya kos pendidikan, peluang pekerjaan dan pelaburan asing.
Memetik tinjauannya dalam kalangan pengundi Kedah, katanya, tumpuan Anwar terhadap pembasmian kemiskinan, pendidikan dan memerangi rasuah mula mengubah pandangan penduduk Kedah.
Mazlan pula berpendapat, gabungan perpaduan Kedah perlu bekerja keras untuk membentuk kerajaan negeri berbilang kaum bagi menarik minat belia Kedah tanpa mengira bangsa dan membawa kestabilan politik ke negeri itu.
“Kedah memerlukan pelaburan. Apabila politik Kedah stabil, pelabur akan ke Kedah dan dengan bantuan kerajaan persekutuan, Kedah mampu makmur seperti Pulau Pinang dan Selangor serta menyumbang dengan banyak kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.
“Saya yakin jika belia sokong (PH-BN), hasrat Mahdzir akan tercapai dan Kedah mampu jadi negeri maju kerana ia akan ditadbir parti politik yang menawarkan kestabilan politik di Kedah dan persekutuan.”