Kertas siasatan Hadi, Guan Eng diserah kepada peguam negara semalam

Kertas siasatan Hadi, Guan Eng diserah kepada peguam negara semalam

Bagaimanapun, masih terdapat siasatan yang perlu dilakukan oleh polis, yang sudah mencapai tahap 70% lengkap, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Presiden PAS Hadi Awang dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng sebelum ini disiasat oleh polis susulan kenyataan dikeluarkan mereka yang dikatakan menyentuh isu 3R.
KUALA LUMPUR:
Kertas siasatan berhubung isu 3R (institusi raja, agama dan kaum) terhadap Presiden PAS Hadi Awang dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng telah diserah kepada Pejabat Peguam Negara semalam.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, masih terdapat siasatan yang perlu dilakukan oleh polis, yang sudah mencapai tahap 70% lengkap.

“Ada lagi siasatan yang kita perlu selesaikan daripada segi pengekalan data dan juga forensik,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Ahad lepas, polis mengesahkan kertas siasatan berhubung isu 3R terhadap kedua-dua pemimpin akan diserah kepada pihak peguam negara selepas kesemua keterangan diambil.

Razarudin juga berkata, proses merakam keterangan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Hadi disiasat susulan kenyataannya di Facebook 8 Julai lepas yang mendakwa DAP ingin mengekalkan pengertian Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran liberalisme.

Lim pula disiasat susulan kenyataannya yang mendakwa “gelombang hijau” akan menjejaskan hak agama di Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.