
Tiga lelaki tempatan berusia 32 hingga 61 tahun turut ditahan dalam empat serbuan di sekitar Cheras dan Klang dari 1.40 pagi hingga 12.30 tengah hari 13 Julai lalu, selain menjumpai 230.3kg dadah terdiri daripada methamphetamine (56kg), ketamin (20kg) serta pil ekstasi (154.3kg).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din, berkata sindiket dadah itu dipercayai mula aktif sejak awal tahun ini dengan memfokuskan pasaran tempatan, termasuk Sabah dan Sarawak.
Katanya, mereka memasukkan dadah dibungkus dalam paket serbuk sabun pakaian, sebelum menggunakan khidmat syarikat kurier dan logistik untuk penghantaran menggunakan kontena kapal ke Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, bekalan dadah dipercayai diseludup ke negara ini dari negara jiran menggunakan jalan darat.
“Semakan mendapati tiga suspek ini masing-masing berperanan sebagai koordinator, pembekal dan penjaga stor, yang mana kediaman dan rumah kedai diserbu itu digunakan sebagai stor simpanan.
“Suspek berperanan sebagai koordinator didapati bekerja sebagai pemandu e-panggilan, manakala dua lagi rakan subahatnya dipercayai bekerja sepenuh masa sebagai pembekal dan penjaga stor,” katanya menurut Berita Harian dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur.
Kamarudin berkata, polis turut menyita beberapa aset dianggarkan hampir RM390,000, antaranya kereta BMW, Lexus, Perodua Bezza dan Toyota Vios.
Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek itu negatif dadah, manakala seorang suspek mempunyai lima rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah.
Katanya, tiga lelaki itu direman tujuh hari hingga 20 Julai ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kita masih mengesan saki baki anggota sindiket ini yang dipercayai masih bebas bagi memastikan mereka semua dapat dibawa ke muka pengadilan,” katanya.