Mahkamah tiada kuasa bicara saman berkait HSR, kata peguam cara negara

Mahkamah tiada kuasa bicara saman berkait HSR, kata peguam cara negara

Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata, keputusan defendan adalah keputusan dasar awam tidak boleh dibicarakan mana-mana mahkamah.

Malaysia membayar RM320.27 juta kepada Singapura untuk kos ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan pelanjutan penggantungannya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah tiada kuasa membicarakan saman berhubung keputusan Jemaah Menteri membatalkan projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) kerana ia keputusan dasar awam Kabinet.

Peguam Cara Negara, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata demikian melalui afidavit sokongan dalam permohonan kerajaan dan empat tokoh politik membatalkan saman difailkan Mohd Hatta Sanuri berhubung pembatalan projek itu membabitkan Malaysia dan Singapura.

Terrirudin menerusi affidavit difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 7 April lalu mendakwa isu itu tidak wajar (bukan dalam bidang kuasa mahkamah) kerana keputusan Kabinet berdasarkan rundingan dengan Singapura serta kajian tentang kepentingan dan kos ekonomi negara.

Hatta, 47, selaku plaintif memfailkan saman itu pada 30 Dis lepas, dengan menamakan dua bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed, bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong dan kerajaan selaku defendan pertama hingga kelima.

Terrirudin mendakwa lima defendan itu menggunakan kuasa mereka dengan betul berhubung keputusan Kabinet yang pada mulanya menangguhkan projek berkenaan dan kemudian membatalkannya.

“Saya sesungguhnya percaya dan menegaskan tindakan plaintif sangat jelas tidak dapat dipertahankan kerana plaintif tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan tindakan ini dan keputusan defendan adalah keputusan dasar awam yang tidak boleh dibicarakan mana-mana mahkamah.

“Dengan itu, saya sesungguhnya percaya dan menyatakan tindakan ini mengaibkan, remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah mulia ini.

“Selain itu, plaintif juga tidak mempunyai kepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam perkara itu, malah dia tidak mempunyai hak undang-undang untuk memfailkan tindakan sivil bagi pihak semua rakyat Malaysia,” dakwa Terrirudin.

Pada 1 Jan 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan HSR sepanjang 350km kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Dis 2020.

Sehubungan itu, Malaysia membayar SGD102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura untuk kos ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan pelanjutan penggantungannya.

Projek itu dijangka menyediakan tiga perkhidmatan utama, iaitu perjalanan secara terus antara Malaysia dan Singapura dalam tempoh 90 minit, perkhidmatan domestik di Malaysia dan perkhidmatan ulang-alik dari Iskandar Puteri (Johor) sehingga Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.