
Katanya, setiap peruntukan dalam Bajet Kelantan lulus penuh teratur, telus dan berintegriti.
Pejabat itu memandang serius tindakan Pemuda Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membuat laporan semalam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait dakwaan “projek khas” membawa pelajar universiti awam dan swasta pulang mengundi, selain ke mana baki peruntukan itu akan dibelanja.
Susulan itu, Pejabat Menteri Besar Kelantan akan membuat laporan polis terhadap individu terbabit.
Katanya, dana RM30 juta tersebut membabitkan peruntukan jaminan bekalan makanan (RM10 juta), projek-projek kecil (RM8 juta), projek menangani banjir kilat (RM5 juta), pinjaman mikro kredit (RM3 juta) dan projek air komuniti bawah bekalan sumber air dan bekalan air alternatif (RM4 juta).
“Pejabat Menteri Besar Kelantan mengambil serius berkaitan laporan media mengenai Pemuda PH dan BN pada 16 Julai 2023 yang membuat laporan kepada SPRM terhadap dakwaan menyalahguna peruntukan projek khas RM30 juta bagi tujuan PRN Kelantan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, Bajet Kelantan 2023 diluluskan sebulat suara pada 27 Nov 2022.
Semalam, Ketua Pemuda PH Kelantan, Zulhazmi Hassan, berkata walaupun peruntukan itu dibentang kerajaan negeri dalam bajet, timbul keraguan besar berhubung kaedah dana tersebut akan digunakan.
Beliau mendakwa, peruntukan itu seolah-olah menggambarkan lokasi untuk “30 kawasan DUN” yang ingin dimenangi PAS.