Kes Dea Maisarah: Polis terima laporan bapa, hospital

Kes Dea Maisarah: Polis terima laporan bapa, hospital

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan menegaskan polis akan menjalankan siasatan secara terperinci, menyeluruh, adil dan saksama.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata siasatan kes kematian kanak-kanak Dea Maisarah Bada mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
SHAH ALAM:
Polis mengesahkan menerima dua laporan berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata laporan polis berkenaan diterima masing-masing daripada pihak hospital dan bapa mangsa dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Siasatan mendapati mangsa seorang kanak-kanak warga tempatan berumur 10 tahun dibawa oleh ahli keluarganya untuk mendapatkan rawatan di HTAR dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan. Kejadian itu juga tular di media sosial dan mendapat perhatian pelbagai pihak.

“Siasatan terperinci, menyeluruh, adil dan saksama akan dijalankan terhadap aduan kedua-dua pihak iaitu hospital dan penjaga. Polis tidak pernah menafikan hak sesiapa dalam menjalankan siasatan kes ini,” katanya dalam kenyataan.

Hussein turut menyeru orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu dan sebarang maklumat boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Natalie Anak Allin di talian 03-55145222 atau 019-6422985.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata pihak berkuasa sedang menyiasat kematian kanak-kanak itu, Dea Maisarah Bada dan turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.