
Ketua Polis Timur Laut Soffian Santong berkata penahanan dua lelaki itu susulan laporan daripada penolong pengurus stor sebuah kedai serbaneka di Jalan Macalister, berhubung seorang lelaki membeli kupon tambah nilai Touch N Go menggunakan wang kertas RM100 dipercayai palsu pada 8 Julai lepas.
“Polis berjaya menangkap lelaki itu kawasan George Town pada 11.30 malam dan serbuan di rumahnya di Bukit Mertajam berjaya merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian, dan tujuh keping kupon tambah nilai Touch N Go.
“Suspek mendakwa membeli sebanyak 30 keping wang palsu RM100 dengan harga RM1,000 daripada seorang lelaki tempatan yang dikenali menerusi laman sosial Instagram,” katanya dalam kenyataan.
Hasil maklumat dan risikan polis berjaya menahan lelaki kedua yang dipercayai berperanan menjual wang kertas palsu itu, dalam serbuan di Jalan Tebrau, Johor bagi membantu siasatan.
Siasatan lanjut masih dijalankan dan kedua-dua lelaki kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan.
Sementara itu, IPD Barat Daya dalam kenyataan berkata polis menyita lapan motosikal dalam operasi samseng jalanan dan mat rempit di kawasan tumpuan lumba haram.
Kenyataan memaklumkan, polis turut mengeluarkan 30 keping saman kerana pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi bermula 12.30 tengah malam hingga 4 pagi.
“Selain membendung samseng jalanan yang melibatkan mat rempit, operasi itu juga bertujuan memastikan penunggang motosikal sentiasa mematuhi peraturan-peraturan lalu lintas sedia ada dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Operasi ini juga turut tertumpu di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan mat rempit melakukan aksi berbahaya dan mengesan pemandu mabuk, mencegah kejadian kes kecurian kenderaan, ragut, pecah rumah, dan lain-lain jenayah,” katanya.