7 bulan bersama, Pemuda Umno akui kekok kongsi pentas dengan PH

7 bulan bersama, Pemuda Umno akui kekok kongsi pentas dengan PH

Pemuda Umno kali pertama berkongsi pentas dengan PH di peringkat nasional menerusi Program Pentas Anak Muda Madani Pulau Pinang malam tadi.

Akmal Saleh bersama Adam Adli pada Program Pentas Anak Muda Madani Pulau Pinang malam tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemuda Umno mengakui berasa kekok apabila kali pertama berkongsi pentas dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada program Pentas Anak Muda Madani Pulau Pinang, malam tadi.

Biarpun begitu, ketuanya, Akmal Salleh, berkata ia adalah permulaan bagi mereka untuk bekerjasama dalam memastikan kemenangan berpihak kepada kerajaan perpaduan dianggotai PH dan Barisan Nasional (BN).

“Ini adalah pentas pertama kita dengan PH di peringkat nasional yang bermula di Parlimen Permatang Pauh. Semestinya kekok, jika tak kekok tu, saya rasa bohong lah. Ini kerana, kita tidak pernah kongsi pentas bersama kerajaan PH.

“Bagaimanapun, semuanya akan bermula dengan langkah pertama, moga ia dapat memberi manfaat kepada rakyat, bukan saja kepada parti politik tetapi kepentingan orang muda hari ini dan bagaimana kita mahu majukan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas program itu, menurut Sinar Harian.

Program dihadiri lebih 200 orang itu menampilkan sembilan penceramah terdiri daripada beberapa pemimpin antaranya Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abdul Halim; Naib Ketua Angkatan Muda PH Young Syefura Othman dan wakil Amanah, Muhammad Faiz Fadzil.

Mengenai sokongan orang muda di Pulau Pinang, Akmal berkata ia dilihat memberangsangkan dan akan dikekalkan hingga hari pengundian.

“Insya-Allah kita jangkakan semangat ini perlu dibawa hingga ke hari pengundian pada 12 Ogos nanti dan semoga semangat ini dapat dikekalkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.