
Majistret Chai Guan Hock menjatuhkan hukuman itu terhadap Saira Abdullah, 62, selepas mengaku bersalah mencederakan Inam Ullah, 37, menggunakan cecair kimia dalam lif Blok B Pangsapuri Laksamana Jaya, Kampung Laksamana, Batu Caves, Gombak, pada 1.10 pagi 4 Julai lalu.
“Tertuduh mengaku bersalah dan menjimatkan masa dan kos mahkamah. Dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan keseriusan kesalahan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bermula tarikh tangkapan pada 9 Julai lalu,” kata majistret itu.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Peguam Izleen Ismail dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Selangor yang mewakili Saira merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya, kini dalam proses penceraian dengan suaminya, selain mengalami kemurungan teruk serta menghidap penyakit darah tinggi.
“Wanita ini sudah 32 tahun berumahtangga dengan suaminya. Bagaimanapun, tiga tahun lepas, dia mendapat tahu suaminya mempunyai hubungan sulit dengan perempuan lain,” kata peguam itu dan menambah anak guamnya tiada rekod kesalahan lampau.
Dalam kes ini, katanya, tertuduh mendakwa dia diprovokasi mangsa (Inam) yang mahu berkawan dengannya, walaupun lelaki itu sudah berkahwin.
“Tertuduh tidak boleh berfikir dengan betul dan mengambil tindakan sendiri (menyimbah cecair kimia) dan dia amat menyesali perbuatannya.”
Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon hukuman berat berbentuk pengajaran terhadap tertuduh, mengambil kira kecederaan dialami mangsa atas kerana faktor kepentingan awam perlu mengatasi kepentingan tertuduh.
Mengikut fakta kes, pemeriksaan doktor mendapati mangsa lecur tahap satu di bahu kanan dan belakang badan.
Dalam prosiding sama, Saira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sengaja mencederakan Jemilah Sabda, 60, isteri kepada Inam di tempat, waktu dan tarikh sama, juga mengikut seksyen sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Sept ini untuk sebutan semula kes.