
Menurut Rafizi, e-mel tersebut melampirkan ‘tangkap layar’ video itu, bersekali dengan kod QR untuk pemindahan wang.
Rafizi merasakan tujuan sebenar e-mel itu ialah untuk menggodam perantinya, kerana tangkap layar tersebut meletakkan mukanya pada suatu video kabur.
“Yang lawaknya, setengah jam kemudian saya dapat mesej dari Wong Chen, Ahli Parlimen Subang. Dia beritahu dia kena ugut, ada satu video lucah dengan lelaki juga.
“Kami sama-sama kongsi tangkap layar. Rupanya kami dituduh tidur dengan lelaki yang sama,” katanya di platform X.
Wong mengesahkan kepada FMT suatu laporan dibuat sejurus itu, dan kenyataan akan menyusul selepas bertemu polis pada Isnin.
Dalam pada itu, Rafizi memaklumkan bahawa beliau selalu berdepan cubaan menggodam peranti, dan menjadi sasaran sebanyak empat kali dalam tempoh sembilan bulan yang lepas.
Pada Ogos, Rafizi berkata isterinya menerima dua mesej ugutan sehari selepas anak lelaki mereka diserang dua lelaki menggunakan picagari.
Katanya, isterinya menerima mesej daripada nombor tidak dikenali yang berbunyi: “Diam, kalau teruskan… AIDS”.
Pada 13 Ogos, anak lelaki Rafizi berusia 12 tahun diserang di sebuah pusat membeli-belah di Putrajaya kira-kira 2 petang.
Rafizi mengesyaki serangan itu ada kaitan satu skandal sedang ditelitinya, menyatakan beliau bertemu dengan pemberi maklumat seminggu sebelum kejadian.