45% aduan diterima MTPN berkait pembedahan plastik

45% aduan diterima MTPN berkait pembedahan plastik

Majlis Tindakan Pengguna Negara berkata kebanyakan isu berkenaan melibatkan kesan atau implikasi pembedahan yang memberi kesan buruk kepada pengadu.

Majlis Tindakan Pengguna Negara berkata kebanyakan mangsa terpedaya untuk membuat rawatan kosmetik seperti pembedahan hidung, suntikan vitamin C, ‘liposuction’ atau bariatrik kerana harga yang lebih murah daripada pusat atau klinik kecantikan berlesen. (Gambar Freepik)
MELAKA:
Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) menerima sebanyak 358 aduan berkaitan kepenggunaan di seluruh negara sepanjang tahun lepas dengan 45% daripada aduan berkenaan melibatkan industri pembedahan plastik terutama kosmetik.

Timbalan Presiden Kebangsaan MTPN Abdul Malik Jamaran berkata kebanyakan isu berkenaan melibatkan kesan atau implikasi pembedahan yang memberi kesan buruk kepada pengadu khususnya pembedahan yang tidak berjaya seperti dijanjikan dan terdapat juga kes berkenaan yang meragut nyawa mangsa.

Beliau berkata mangsa pembedahan kosmetik tersebut kebanyakannya terdiri daripada golongan wanita berusia antara 25 hingga 60 tahun yang ingin cantik menerusi jalan pintas tanpa melalui rujukan pakar atau klinik yang menjalankan rawatan berkenaan secara sah dan kes tertinggi diterima ialah di Kuala Lumpur.

“Kebanyakan mangsa terpedaya untuk membuat rawatan kosmetik seperti pembedahan hidung, suntikan vitamin C, ‘liposuction’ atau bariatrik kerana harga yang ditawarkan kira-kira 50% lebih rendah daripada pusat atau klinik kecantikan berlesen.

Pembedahan berkenaan pula ditawarkan oleh individu yang didakwa pakar dari luar negara seperti dari China dan ia dilakukan secara rumah ke rumah, tanpa premis tetap atau berlesen bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Pejabat MTPN Melaka oleh Presiden Kebangsaan MTPN Kevy KV Yeo yang turut dihadiri Yang Dipertua MTPN Melaka Aalex Kong Sin Fatt.

Malik berkata bagi setiap aduan yang diterima, MTPN akan bertindak sebagai orang tengah bagi mendapatkan pembelaan bagi pihak mangsa daripada pihak yang menawarkan pembedahan atau penipuan tersebut dengan kerjasama pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan,Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia dan polis.

Beliau berkata MTPN tidak mengenakan sebarang caj atau bayaran kepada pengadu bagi setiap rundingan, khidmat nasihat atau isu yang diselesaikan kerana MTPN berperanan membantu membela nasib mangsa yang ditindas atau tertipu.

“Daripada keseluruhan 358 aduan yang diterima sepanjang tahun lepas termasuk ‘love scam’, MTPN telah berjaya menyelesaikan kira-kira 50% daripada kes berkenaan dan kita berharap orang ramai lebih berhati-hati untuk mendapatkan khidmat pembedahan kecantikan atau kosmetik agar tidak menjadi mangsa.

Isu melibatkan industri pembedahan kosmetik ini agak kritikal kerana permintaan daripada pengguna sendiri agak tinggi kerana mereka terpedaya dengan pelbagai tawaran indah daripada industri berkenaan yang tidak berlesen,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.