
Peguam Adnan Seman yang mewakili MAIWP berkata, susulan penarikan balik saman itu, Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Shahrir Mohd Salleh membatalkan saman dan pernyataan tuntutan berkenaan.
“Saman itu dibatalkan oleh mahkamah tanpa kebebasan untuk memfailkan semula. Plaintif (Syamsul) juga diarahkan membayar kos RM4,000 kepada defendan pertama dan kedua, serta RM5,000 kepada defendan ketiga,” kata peguam itu ketika dihubungi selepas pengurusan kes secara dalam talian.
Peguam Azahir Nasir, yang mewakili Syamsul turut mengesahkan perkara itu.
Pada 28 Mac lalu Syamsul, 39, atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof selaku plaintif, menyaman Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Penguatkuasaan Jawi, Mohd Haris Abdllah, Pengarahnya Mohd Ajib Ismail dan MAIWP sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Syamsul menerusi pernyataan tuntutannya berkata pada 20 Dis 2022, ibunya Patimah Ismail menghantar sekeping gambar mengandungi nama Ira atau nama sebenarnya Faghira Fatini, nombor kad pengenalan, tandatangan dan pernyataan bertulis menerusi aplikasi WhatsApp, kepada plaintif.
Dakwa pelakon filem “KL Gangster” itu, gambar pernyataan tersebut yang disebar dan diedarkan kepada ibunya, mengandungi fakta mengaibkan dan memalukan plaintif.
Syamsul berkata, beliau menghubungi Ira, yang kini isterinya untuk bertanyakan mengenai gambar tersebut dan wanita itu memaklumkan beliau telah dipanggil oleh defendan ketiga (MAIWP), untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes oleh Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, yang ketika itu isteri pertama Syamsul.
“Keterangan Ira yang dirakam oleh defendan pertama (Haris) tertakluk bawah Seksyen 59 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah) Persekutuan 1997 dan Akta Keterangan Mahkamah Syariah, yang mana pernyataan itu dikategorikan sebagai dokumen persendirian dan tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972,” kata Syamsul dalam pernyataan tuntutan itu.
Oleh itu, plaintif mendakwa ketiga-tiga defendan melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 apabila menyebarkan gambar pernyataan tersebut, selain mendakwa keterangan Ira ditokok tambah oleh defendan pertama serta ia merupakan fitnah, kerana memberi gambaran bahawa plaintif melakukan maksiat dan mempunyai hubungan luar perkahwinan bersama pihak lain.
Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan teruk serta kos difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pada 14 Jun lalu, Syamsul melafazkan cerai talak satu terhadap Puteri Sarah, 38, di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan selepas isteri pertamanya itu memfailkan permohonan cerai atas alasan mereka tidak ada persefahaman dan berlaku shiqaq berpanjangan serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri mengikut hukum syarak.