8 tahun diburu, buruh Myanmar akhirnya didakwa kes bunuh

8 tahun diburu, buruh Myanmar akhirnya didakwa kes bunuh

Mengikut pertuduhan Ajib Kham didakwa menyebabkan kematian Uzzal Ali di Ampang pada 5 Sept 2015.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes 3 Okt ini untuk serahan dokumen. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Warga Myanmar yang meloloskan diri daripada buruan polis selama lapan tahun akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan membunuh seorang pekerja dobi dari Bangladesh pada 2015.

Ajib Kham, 37, yang tidak diwakili peguam, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, bekas buruh binaan itu didakwa menyebabkan kematian Uzzal Ali, 28, di Jalan 2/2 Pandan Cahaya, Ampang pada 8.30 malam 5 Sept 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun. Jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh berdepan hukuman tidak kurang 12 sebatan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 3 Okt ini untuk serahan dokumen.

Semalam, media melaporkan lelaki itu ditahan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 12.30 tengah malam 23 Jun lalu bagi membantu siasatan kes tikam.

Berdasarkan siasatan polis, mangsa sedang bekerja sebelum didatangi suspek dikenalinya dan berlaku perselisihan faham sehingga menyebabkan pergelutan antara dua warga asing itu.

Mangsa ditikam itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Ampang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.