1,184 calon STPM dapat PNGK 4.00

1,184 calon STPM dapat PNGK 4.00

Jumlah itu menyaksikan calon yang memperoleh keputusan PNGK 4.00 meningkat berbanding 2021 iaitu seramai 874 orang.

Seramai 41,701 calon menduduki peperiksaan STPM 2022. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seramai 1,184 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 mendapat purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00, kata Pengerusi Majlis Peperiksaan (MPM) Mohd Ekhwan Toriman.

Beliau berkata, ia sekali gus menyaksikan calon yang memperoleh keputusan PNGK 4.00 meningkat berbanding 2021 iaitu seramai 874 orang.

“Daripada 1,184 calon ini, seramai 1,009 calon atau 85.22% daripadanya adalah daripada kategori B40,” katanya pada sidang media pengumuman Keputusan STPM 2022.

Bagi PNGK Nasional STPM 2022, Ekhwan berkata ia juga meningkat kepada 2.82 tahun lalu berbanding 2.79 tahun sebelumnya.

“PNGK Nasional ini juga merupakan PNGK Nasional tertinggi sejak dilaksanakan peperiksaan STPM,” katanya.

Ekhwan berkata, dari segi pencapaian PNGK secara keseluruhannya, calon STPM 2022 yang memperoleh PNGK 3.75 dan ke atas ialah 9.59% manakala PNGK 3.00 dan ke atas ialah 42.96%.

“Bagi PNGK 2.75 dan ke atas ialah 56.97% dan PNGK 2.00 dan ke atas ialah 89.75% adalah meningkat berbanding 2021,” katanya.

Mengenai jumlah calon mendaftar STPM 2022, beliau berkata seramai 43,687 mendaftar namun 41,701 calon hadir menduduki peperiksaan pada ketiga-tiga semester STPM 2022.

“Daripada 41,701 calon yang hadir, sebanyak 99.98% atau 41,694 calon layak dianugerahkan Sijil STPM 2022, manakala hanya 0.02% atau tujuh calon sahaja tidak layak mendapat sijil ini,” katanya.

Ditanya mengenai 1,986 calon yang tidak hadir menduduki peperiksaan itu, beliau berkata ia disebabkan beberapa faktor seperti calon mendapat pekerjaan, menyambung pelajaran ke peringkat diploma atau program lain, sakit atau meninggal dunia.

Sementara itu, beliau berkata MPM memilih 17 pelajar terbaik mengikut kategori untuk diberikan anugerah berbentuk wang tunai bernilai RM1,000, plak serta sijil dan ia dijangka disampaikan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam satu majlis, hari ini.

Beliau berkata, kategori berkenaan ialah 11 pelajar STPM terbaik keseluruhan, seorang pelajar terbaik kategori B40 dan seorang pelajar terbaik kategori Orang Asli.

“Empat pelajar terbaik bagi setiap kategori calon Berkeperluan Pendidikan Khas iaitu buta, rabun, autistik dan spastik,” kata Ekhwan yang juga naib canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.

Calon STPM 2022 boleh menyemak keputusan menerusi pautan http://stpm.mpm.edu.my/stpmK dan sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM/no kad pengenalan/angka giliran dan hantar ke 15888 bermula 11 pagi ini hingga 12 tengah hari, Ahad ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.