Zuraida rayu perintah bayar PKR RM10 juta

Zuraida rayu perintah bayar PKR RM10 juta

Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas naib presiden PKR itu membayar jumlah berkenaan kerana melanggar bon ditandatanganinya enam tahun lalu.

Zuraida Kamaruddin mendakwa bon itu melanggar kebebasan berpersatuan dijamin bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas naib presiden PKR, Zuraida Kamaruddin memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkannya membayar ganti rugi RM10 juta kepada parti itu kerana melanggar bon ditandatanganinya enam tahun lalu.

Notis rayuan mencabar penghakiman 23 Jun itu difailkan Isnin lalu.

Peguam PKR, Navpreet Singh bagaimanapun memberitahu FMT, firma guamannya belum menerima notis rayuan Zuraida.

Bulan lalu, Hakim Akhtar Tahir memutuskan PKR berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Zuraida.

“Tujuan bon itu untuk menghalang ahli (parti), khasnya calon dipilih, daripada bertindak bertentangan kepentingan parti sebelum atau selepas pilihan raya.

“Jumlah lebih rendah tidak akan bertindak sebagai pencegah,” kata hakim itu.

Hakim berkata, bawah syarat bon itu, Zuraida berjanji akan membayar RM10 juta dalam mana-mana tiga keadaan, termasuk jika PKR menamatkan keahliannya atau beliau meletak jawatan.

“Tanggapannya bahawa beliau menandatanganinya di bawah tekanan tidak berasas. Bukti menunjukkan beliau menandatangani bon itu dengan tahu sepenuhnya tentang kandungannya,” kata Akhtar.

PKR melalui Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail, memfailkan rayuan pada 2020 terhadap Zuraida, mendakwa beliau melanggar bon kontrak dengan menyertai Bersatu susulan Langkah Sheraton pada akhir Februari 2020.

Parti itu berkata, Seksyen 71 Akta Kontrak 1950 memberinya hak untuk mendapatkan ganti rugi atas manfaat dinikmati Zuraida sebagai Ahli Parlimen Ampang dan dilantik sebagai menteri.

Zuraida dalam pembelaannya mendakwa bon itu “tidak berperlembagaan” dan PKR tidak boleh melaksanakan syarat itu kerana ia melanggar kebebasan berpersatuan dijamin bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.