
Saifuddin berkata, sejak Feb 2015 pengembara yang dikenakan NTL diuruskan syarikat swasta, Mono Circle Sdn Bhd untuk proses penghantaran pulang.
“Jemaah Menteri bersetuju untuk proses penghantaran pulang diuruskan syarikat penerbangan tanpa pihak ketiga.
“Ini sesuai dengan Akta Imigresen 1959 dan 1963 jelas mereka (syarikat penerbangan) pihak sepatutnya ambil tanggungjawab (proses penghantaran pulang),” katanya pada sidang media khas di Kementerian Dalam Negeri.
Sementara itu, Saifuddin berkata antara Januari hingga Jun tahun ini, pintu masuk negara menerima kemasukan 3,984,823 pengembara dan daripada jumlah itu seramai 14,977 pengembara dikenakan NTL.
“Tiga warganegara mencatat status NTL paling tinggi ialah Bangladesh, Pakistan dan India,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin menafikan laporan sebuah akhbar yang mendakwa wanita warga China yang dikaitkan dengan kekecohan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lalu belum pulang ke negara asal.
Beliau berkata laporan itu yang memetik sumber adalah tidak tepat, dan mengesahkan wanita itu sudah pulang ke negara asal pada 4 Julai lalu.
“Wanita China itu pulang pada jam 8.58 malam pada 4 Julai 2023. Media kena cermat dan hati-hati. Jangan petik sumber sebarangan,” katanya.