Kerajaan setuju subsidi RM300 tiket penerbangan pelajar IPTA

Kerajaan setuju subsidi RM300 tiket penerbangan pelajar IPTA

Menteri pengangkutan berkata inisiatif itu bermula 15 Ogos meliputi pelajar dari Semenanjung, Sabah, Sarawak, dan Labuan.

Loke Siew Fook berkata, implikasi kewangan bagi tujuan itu dianggar RM16.8 juta melibatkan lebih 56,000 pelajar universiti awam.
PUTRAJAYA:
Kerajaan bersetuju menanggung subsidi RM300 bagi pembelian tiket penerbangan khusus kepada pelajar universiti awam bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak, dan Labuan.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata inisiatif itu dijangka akan memanfaatkan lebih 56,000 pelajar dengan implikasi kos keseluruhan dianggar RM16.8 juta.

Katanya, mekanisme itu akan dilaksana bermula 15 Ogos.

“Inisiatif ini akan dilaksanakan melalui kaedah pemberian ‘credit shell’ di mana syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pelajar layak menerima subsidi disyaratkan sedang mengikuti pengajian di universiti awam pada 2023, termasuk mengambil kira alamat tetap ketika menuntut sama ada di Semenanjung, Sabah, Sarawak, dan Labuan.

“Tarikh akhir penebusan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah pada 31 Oktober 2023. Namun, pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan,” katanya.

Loke ketika mengulas lanjut, berkata sekiranya harga tiket dibeli kurang RM300, baki baucer digital akan kekal
dalam “credit shell” untuk digunakan bagi pembelian tiket seterusnya.

Beliau berkata, tindakan pemberian subsidi itu bertujuan mengurangkan beban kewangan pelajar yang ingin pulang ke kampung halaman semasa cuti semester.

“Bantuan ini adalah salah satu inisiatif kerajaan perpaduan untuk mengeratkan hubungan antara Semenanjung dan Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan, di samping menangani isu kos sara hidup,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.