Laporan tragedi bom lempar selewat minggu depan, kata timbalan menteri

Laporan tragedi bom lempar selewat minggu depan, kata timbalan menteri

Adly Zahari berkata laporan kejadian yang mengorbankan 2 anggota TUDM itu akan diperoleh pada mesyuarat Majlis Angkatan Tentera.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kementerian akan dimaklumkan mengenai laporan itu dalam minggu ini atau selewatnya minggu hadapan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Laporan penuh siasatan tragedi letupan bom lempar yang mengorbankan dua anggota tentera ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan dijangka diperoleh selewat-lewatnya minggu depan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata kebiasaannya maklumat itu akan diperoleh ketika mesyuarat Majlis Angkatan Tentera.

“Biasanya kita ada mesyuarat setiap minggu. Jadi saya fikir dalam minggu ini atau minggu depan itu mungkin kita akan dimaklumkan,” katanya menurut Berita Harian.

Adly berkata demikian pada lawatan Program Usahawantani Putra-Perhebat di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang.

Pada 26 Jun lalu, media melaporkan dua anggota TUDM terbunuh manakala seorang lagi cedera ketika sesi latihan senjata di Kem Syed Sirajuddin.

Dalam kejadian 12.10 tengah hari itu, seorang penuntut Institut Pentadbiran dan Pengajian Pangkalan Udara Sendayan maut di tempat kejadian, manakala seorang jurulatih meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Segamat.

Seorang lagi jurulatih turut cedera dan dirawat di hospital.

Menurut laporan, kejadian itu berlaku ketika sesi latihan menembak senjata dan bom lempar di Tapak Latihan Grenade Asas, lapang sasar Kem Syed Sirajuddin.

TUDM dalam kenyataan memaklumkan lembaga penyiasatan akan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.