Industri komited tak naik harga ‘melampau’, kata menteri

Industri komited tak naik harga ‘melampau’, kata menteri

30 pengusaha industri beri jaminan itu pada sesi libat urus dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara minggu lalu.

Salahuddin Ayub berkata harga barangan bersubsidi seperti ayam dan telur masih dijual pada paras ditetapkan.
KUALA LUMPUR:
Kira-kira 30 wakil industri memberikan komitmen untuk tidak menaikkan harga barang secara melampau sehingga hujung tahun ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub.

Salahuddin berkata pengusaha industri memberi jaminan itu pada sesi libat urus dengan kementeriannya pada minggu lalu.

“Kalau ada pun kerajaan akan runding semula untuk lihat kembali harga-harga berkenaan,” katanya pada sidang media selepas melawat Pasaraya Econsave Setapak Central.

Ahad lalu, sebuah media melaporkan harga barangan pengguna dijangka meningkat sehingga 20 peratus menjelang Oktober tahun ini dengan didorong dua faktor utama iaitu inflasi import dan peningkatan kos operasi perniagaan di Malaysia.

Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor Nivas Ragavan berkata peningkatan itu ekoran kemerosotan nilai ringgit berbanding USD sehingga mendorong berlaku inflasi import pada kadar tinggi.

Sementara itu, Salahuddin berkata tinjauan kementeriannya mendapati barang bersubsidi kerajaan seperti ayam bulat, telur ayam gred A, B, C dan D masih dijual pada paras ditetapkan dan tidak akan dinaikkan.

“Barangan tidak diberi subsidi seperti gula dan minyak masak tetap dijual pada harga pasaran,” katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendakwa berlaku kenaikan pada beberapa barangan bersubsidi seperti ayam RM10 sekilogram berbanding RM6.40 ketika di zaman pentadbirannya.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berkata beliau sudah mula menternak ayam penelur di kebunnya bagi kegunaan sendiri sebagai salah satu kaedah untuk menyelesaikan masalah bekalan telur di pasaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.