Beri suasana ‘segar’, BN perlu tampil lebih calon muka baharu, kata Shabery

Beri suasana ‘segar’, BN perlu tampil lebih calon muka baharu, kata Shabery

Pengarah komunikasi strategik BN berkata meskipun di sesetengah kawasan masih dianggap relevan diletakkan calon lama, gabungan itu perlu menampilkan muka baharu.

Pengarah Komunikasi Strategik BN Ahmad Shabery Cheek berkata parti dalam kerajaan perpaduan akan berganding bahu memberikan impak di kawasan ditandingi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Barisan Nasional (BN) perlu menampilkan lebih ramai calon muka baharu dalam gelanggang PRN di enam negeri pada 12 Ogos ini, kata Pengarah Komunikasi Strategik BN, Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, ia bagi menampilkan sesuatu yang lebih “segar” daripada parti itu pada PRN Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan meskipun di sesetengah kawasan masih dianggap relevan untuk diletakkan calon lama.

“Kita tengok dah jadi amalan daripada PRN Melaka dan PRN Johor, banyak calon baharu diletakkan dan saya percaya keputusan akan dibuat dalam menonjolkan banyak calon baharu,” katanya semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam ini.

Mengenai persiapan menghadapi PRN, beliau berkata ia berjalan lancar dengan BN dan parti dalam kerajaan perpaduan akan berganding bahu memberikan impak di kawasan yang ditandingi.

“Kita tunggu persiapan terakhir sebelum penamaan calon dan saya percaya pilihan raya kali ini berbeza dengan yang lepas.

“Tekniknya berbeza, taktik berbeza dan bagaimana kita sampai kepada pengundi juga sesuatu yang berbeza dengan cara lampau,” katanya yang juga Felda.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN enam negeri itu dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal 8 Ogos ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.