
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din, berkata semua suspek berumur 38 hingga 47 tahun itu dipercayai aktif menjadi pengedar serta “transporter” atau pengangkut membawa dadah sejak awal tahun ini dengan bahan terlarang itu diperoleh dari utara Semenanjung berdasarkan peket pembungkusan.
“Serbuan polis yang pertama pada 5 Julai di sebuah rumah di Sepang telah menahan seorang lelaki berumur 44 tahun serta merampas 47.8kg dadah jenis methamphetamine dan ketamin,” katanya pada sidang media.
Bagi operasi kedua di Shah Alam pada 6 Julai, beliau berkata, sebuah inap desa telah diserbu pihak polis bagi menahan dua lelaki berumur 38 dan 47 tahun dan merampas 174.2kg dadah jenis methamphetamine dan pil yaba.
Beliau berkata, hasil dua operasi terbabit, pihak polis turut menyita dua kenderaan jenis Kia dan Toyota Hilux, dua bentuk cincin serta jam tangan dianggarkan bernilai RM87,705.
“Polis kini sedang mengesan dalang sebenar kedua-dua sindiket ini selain masih menjalankan siasatan menyeluruh sama ada mereka terlibat dalam aktiviti kumpulan kongsi gelap,” katanya.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dua daripada mereka didapati positif dadah methamphetamine.
“Semua suspek kini direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membantu siasatan,” katanya.