
Pengerusi PH Selangor itu berkata demikian ketika ditanya berhubung keyakinan Perikatan Nasional (PN) menawan kubu kuat Barisan Nasional (BN) di utara negeri itu.
“Itu juga menunjukkan ketidakyakinan PN untuk menawan seluruh (negeri) sebab mereka hanya tumpu di utara Selangor.
“Kalau macam itu, mereka hanya menunggu di sana untuk menjadi pembangkang yang kuat,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Madani Afiat, Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 dan One-Hour Malaysia Clean-up peringkat kebangsaan.
Sebelum ini, bekas ketua Umno Selangor Noh Omar berkata, keputusan PRU15 di negeri itu membuktikan PN mampu memenangi kerusi di kubu kuat BN.
“Tiga Parlimen di utara Selangor iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjong Karang sebelum ini menjadi kubu kuat Umno, tetapi kita dapat melihat atas semangat dan perpaduan pengundi Melayu, PN mampu menewaskan BN,” katanya ketika berucap pada dialog PN Parlimen Sungai Besar di Markas PAS Simpang Lima, Sabak Bernam, 2 Jun lalu.
Dalam pada itu, Amirudin berkata beliau tidak memandang rendah kemampuan mana-mana pihak dan akan bekerja keras sehingga PRN.
Katanya, walaupun PN dilihat mempunyai kelebihan di utara Selangor, ia bukan kawasan tradisi mana-mana parti justeru persaingan adalah terbuka.
Pada PRU15, PN memenangi Parlimen Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjung Karang.
Sementara itu, Amirudin menyatakan hasrat mempertahankm kerusi DUN Sungai Tua jika diberi peluang oleh kepimpinan tertinggi.
“Pandangan itu (mahu mempertahankan DUN Sungai Tua) belum lagi disampaikan kepada pihak kepimpinan parti, insya-Allah hal itu akan dibincangkan dengan lebih teliti,” katanya.