Peluang pendidikan: Kementerian jamin tiada kaum dipinggirkan

Peluang pendidikan: Kementerian jamin tiada kaum dipinggirkan

Kementerian Pendidikan melakukan penambahbaikan agar semua kaum mendapat akses pendidikan yang sama.

Peluang pendidikan harus diberi kepada pelajar daripada kaum lain walaupun kuota Bumiputera dikekalkan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek. (Gambar Bernama)
KULIM:
Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan tidak ada mana-mana kaum yang dipinggirkan daripada peluang pendidikan dan akan sentiasa berusaha menambah baik sistem sedia ada.

Menteri Fadhlina Sidek berkata walaupun kerajaan berpendirian mengekalkan sistem kuota Bumiputera, peluang dalam pendidikan juga harus diberikan kepada pelajar daripada kaum lain.

“Kita memang bersama dengan apa yang dinyatakan oleh perdana menteri tetapi dalam masa yang sama di peringkat KPM kita ada banyak penambahbaikan dan saya ingin memberi jaminan bahawa kita tidak meminggirkan mana-mana bangsa.

“Ini penting khususnya bagi Tingkatan 6 yang sedang kita lihat dan peluang lain untuk memastikan semua anak kita mendapat akses pendidikan yang sama. Jadi tiada siapa yang akan dipinggirkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan pertandingan robotik.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah menjelaskan sistem kuota Bumiputera dalam pendidikan perlu dikekalkan bagi mengimbangi jumlah pelajar kaum itu di institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, Fadhlina berkata program yang ditawarkan kolej vokasional di bawah KPM mencapai kejayaan yang memberangsangkan apabila kebolehpasaran graduan pada kadar lebih 90% ketika ini.

“Sukacita dimaklumkan bahawa kadar kebolehpasaran graduan kolej vokasional kami telah melepasi 90% dan semua 606 program diploma yang kami tawarkan mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia dan Lembaga Teknologis Malaysia.

“Kita perlu hebahkan kepada orang ramai supaya mereka sedar peluang yang ditawarkan di kolej vokasional,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.