
Beliau berkata, walaupun pentadbiran sebelum ini bersetuju menyelesaikan hutang itu, namun janji itu tidak diselesaikan.
“Memang ada persetujuan dulu, tapi tak selesai. Belanjawan 2021 Perikatan Nasional (PN), 2022 PN tidak ada peruntukan untuk menyelesai dan meluluskan hutang Felda.
“‘I stand by this record’ hanya dalam Belanjawan Madani 2023 saya serahkan RM990 juta peruntukan awal untuk melupuskan hutang peneroka Felda yang jumlahnya RM8.3 bilion,” katanya dalam forum Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok.
Pada Julai 2021, Muhyiddin Yassin yang menjadi perdana menteri ketika itu mengumumkan kerajaan bersetuju menyelesaikan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion, tertakluk syarat tertentu.
Beliau dilaporkan berkata, penyelesaian berkenaan akan mengurangkan beban hutang peneroka sebanyak 80%, dan ia perlu dilakukan untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau “restart Felda”.
Awal hari ini, Muhyiddin menafikan kenyataan Anwar ketika beliau menjadi perdana menteri tidak melakukan apa-apa untuk melupuskan hutang peneroka Felda.
Muhyiddin menuduh Anwar melakukan “pembohongan besar”, sambil menyatakan ketika dalam pemerintahan PN rancangan itu telah dilaksana.
Beliau merujuk kepada jawapan bertulis Parlimen pada 23 Feb, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, kerajaan telah menghentikan inisiatif dimulakan pentadbiran Muhyiddin untuk melupuskan sebahagian hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.
Katanya, kerajaan tidak akan dapat meneruskan inisiatif itu kerana ia membawa “impak besar” terhadap kewangan Felda.
Muhyiddin berkata, bekas pengerusi Felda Idris Jusoh juga mengeluarkan kenyataan pada 24 Feb yang mengesahkan bahawa RM8.3 bilion daripada jumlah hutang peneroka Felda sebanyak RM12.1 bilion telah dilupuskan pada 2021.
Langkah ini memberikan impak yang besar terhadap aliran tunai Felda, katanya.