
Azmin yang juga ketua penerangan PN berkata, beliau ada ditawarkan beberapa kerusi untuk bertanding, namun keputusan muktamad diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi.
“Hulu Kelang merupakan kampung halaman sejak saya berusia empat tahun, sejak 1968. Ya, saya ada menerima permintaan bertanding di sana (Hulu Kelang), tetapi saya juga ada terima tawaran daripada beberapa kawasan lain.
“Saya ditawarkan kerusi di Hulu Kelang, Morib, Batu Tiga, dan beberapa kawasan lain. Saya tidak bertanding di Hulu Kelang semata-mata ia ‘kampung’ saya,” katanya menurut The Star.
Terdahulu, FMT memetik sumber sebagai berkata Azmin hampir pasti bertanding di Hulu Kelang pada PRN Selangor.
Sumber itu berkata, Azmin mempunyai hubungan rapat dengan kawasan berkenaan kerana buat kali pertama dipilih menjadi wakil rakyat dalam PRU10 pada 1999.
Sumber berkata, Azmin, yang juga bekas menteri besar Selangor bermula 2014 hingga 2018, sudah melakukan persiapan bertanding di kawasan Hulu Kelang dengan membuka pusat khidmatnya di sana.
Dalam maklum balasnya, Azmin berkata, naif untuk mendakwa beliau bertanding di Hulu Kelang memandangkan pembukaan pusat khidmat dalam kawasan itu, sambil merujuk ia juga boleh digunakan sebagai bilik operasi.
“Janganlah beranggapan banyak sangat berkenaan pusat khidmat menjadi bilik operasi kerana ia berlaku di seluruh Selangor sejak 23 Jun, selepas Dewan Undangan Negeri bubar.
“Kita sudah menukar semua pusat khidmat kepada bilik operasi sebagai persediaan berdepan pilihan raya. Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan berterusan mengganggu kita dengan merampas bendera dan khemah,” katanya.