
Selebriti yang nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad berkata sebagai ketua PKR Ampang yang terbabit dalam proses pilihan raya bulan depan, beliau harus bersedia memikul tanggungjawab itu.
“Buat masa ini, saya belum dengar apa-apa lagi, jadi kena tunggu hari penamaan calon dulu.
“Jika nama saya dicalonkan, mahu tidak mahu saya kena bersedialah. Cuba buat yang terbaik, Insya-Allah,” katanya menurut Sinar Harian sambil menyatakan turut bersedia memikul sebarang tanggungjawab diberikan.
Dua DUN terletak di bawah Parlimen Ampang adalah Lembah Jaya dan Bukit Antarabangsa yang disandang bekas menteri besar Selangor Mohamed Azmin Ali.
Mengakui menolak tawaran calon PRU15 kerana belum bersedia pada waktu itu, Altimet yang popular dengan lagu berjudul “Amboi” berkata tanggapan selebriti kurang mendapat kepercayaan pengundi harus dikikis.
“Kenapa kurang mendapat kepercayaan? Saya rasa mungkin kerana mereka menganggap golongan artis bukan sebahagian daripada masyarakat dan tak boleh bersama dalam proses demokrasi atau kepimpinan.
“Tanggapan inilah yang harus diperbetulkan dan kita perlu berlaku adil pada semua. Jadi, mungkin kami golongan artis perlu buktikan sesuatu,” katanya.